Friday, March 25, 2005

mytheory17

mytheory17

Yang jahil dan bodoh

Bak kata ustaz saya pada saya: Jahil takpe, asal nak belajar.

Makin tinggi manusia naik ke langit, makin dalam manusia masuk ke kerak bumi, makin menjadi-jadi pula kebodohan manusia. Mungkin benarlah kata hukama':

"Makin tinggi ilmu seseorang, makin rasa jahil dia pada diri".

Namun dalam kes ni, bukanlah manusia itu merasa jahil pada diri sendiri, tapi dunia ini semacam makin lama makin menunjukkan makin bodohnya manusia. Makin maju mereka, makin berkuasa mereka, makin dangkal pula akan segala sesuatu.

Kenapa?

Ini kerana manusia adalah satu-satunya makhluk yang dipanggil khalifah. Penyambung, pengganti dan penguasa. Manusia adalah satu-satunya makhluk yang diberi kuasa. Dan kuasa manusia ini pula berkadar langsung dengan kemampuan dan ilmunya. Tak percaya? Lihat Sulaiman. Atau King Solomon The Great. Dia punya ilmu yang tinggi, jadi tanggungjawab dia bahkan meliputi kerajaan jin dan haiwan.

Ke arah inilah sebenarnya kita. Tuhan dari hari ke hari makin membuka ruang rahsiaNya untuk manusia. Untuk ditadbir dan dikuasai. Makin hari, makin besar tanggungjawab manusia dek kerana makin banyak tahunya.

100 tahun yang lalu, manusia hanya mampu menguasai angin. Tak berfikirlah sesiapa yang percaya menguasai aNgin itu bererti 'bercakap-cakap dengan angin'. Tetapi menguasai sesuatu itu adalah dengan membolehkan ia bekerja untuk kita. 100 tahun yang lalu, angin telah bekerja menghantar manusia mengembara ke serata dunia.

Hari ini, manusia menguasai segala macam jenis makhluk lagi. Angin, air, api bahkan atom dan zarah sekalipun. Begitu tinggi nilaian ilmu manusia hinggakan semua makhluk lain hampir-hampir di bawah taklukan dan kawalannya. Dalam Al-Quran, fenomena kawalan ini dinyatakan dengan empat huruf yakni 'sa-kha2-ra', 'sakhkhara' yakni membuatkan sesuatu itu bertindak pada tabii nya dalam hal yang memberi manfaat pada kita.

..................

Maka tidakkah kita orang Islam, manusia yang telah dinyatakan tuhan sebagai 'kaum yang terpilih', 'kaum yang telah disempurnakan jalan hidup mereka' dan pelbagai lagi pujian sedar akan hakikat besarnya kuasa yang diberikan pada kita? Kita bukan sahaja boleh menguasai manusia lain atau robo-robot, atau jisim-jisim kaku bahkan segala macam yang lain lagi.

Yang luarbiasanya, kita, lebih-lebih lagi yang tinggal di Malaysia ini masih juga berputar-putar pada kekuasaan yang begitu lemah. Tak cukup ayam dicampur babi, kini hotdog pula dicampur babi. Tak cukup perempuan tak pakai tudung, kini nak dijadikan pula perempuan imam solat.

Tak bodohkah ini? Tak jahilkah ini? Ini zaman globalisasi kata dunia. Zaman demokrasi kata Barat. Zaman tanpa sempadan kata semua-semua. Tapi kita? Masih juga begitu. Masih omong-omongnya kosong, masih seputar babi-haram, perempuan-dipinggirkan.

Alahai, ketinggalannya kita. Jumudnya kita. Tak maju dan sempitnya pemikiran kita. Tak ada perkara lainkah nak dibincang? Tak ada isu lainkah yang nak ditimbulkan?

Tak cukup JE dan atau virus nipah, ditambah daging babi haram bercampur ayam halal. Kini dah berjangkit pula pada frankfertur. Bila nak selesai? Takkan selesai selagi kita masih begini. Masih nak tunggu dan lihat sedangkan kita adalah khalifah, ada kuasa. Kita ada kuasa, maknanya kita ada tanggungjawab.

Bosan dan menyampah benar dengan sms-sms dan ym-ym (yahoo messenger) yang hantar senarai makanan yang konon halal dan haram. Kita ini hangat-hangat tahi ayam. MEDIA BISING, KITA PUN MENYALAK. Media diam, -eh-makan-sajalah-bukan-pasti-pun-haramnya.

Buatlah sekurang-kurangnya memorandum. Sekurang-kurangnya sidang akhbar. Sekurang-kurangnya sidang Majlis Fatwa. Boikotlah makan hotdog dan makanan segera lain. Buatlah sesuatu.

"Harap Majlis Agama Islam lebih tegas.."
"Tanda halal hanya untuk pengusaha muslim sahaja"

Seriuslah sikit kawan. Janganlah jadi jahil dan bodoh amat. Kalau dah memang budaya kita makan semuanya tibai, semuanya telan tak kira siapa masak atau dari mana datangnya, Majlis Agama Islam senaraikan terperinci hinggakan semua pun tak jadi apa-apa.

Jangan tutup mata dan berjalan kawan, nanti jatuh. Sijil memang diberi kepada peniaga islam. Tapi pengusahanya bukan islam."eH,saya tak ada modal nak berniaga. Biarlah dia nak usaha. Lagipun saya jual lesen nak tolong dia." Kalau diberi pun pada islam, yang dia tahu haram itu babi dan anjing saja. Dia tak tahu pun urat Merih itu apa dan apakah sebenar gunanya.

.......................

Yang bodoh dan jahil adalah kerana suka benar mengikut. Suka benar menurut. Sami'na wa ata'na.

" Saya dengar dan saya patuh"

YES and BYE-BYE. Betul salah belakang kira. Ubah budaya ni dan insyaallah lepas ni tak ada lagi babi, anjing atau apa-apa sahaja yang sifat dan sebabnya haram.

Dan yang bodoh dan terikut dengan hal babi dan haram inilah pula kemudiannya berevolusi jadi pengikut dan pendokong 'imam wanita pertama' atau 'kebebasan jantina'.

Kerana dengar dan patuh. Cukup. Takyah selidik-selidik, nanti sakit kepala. Takyah cari siapa pembuat,apa aktanya, mana kilangnya. Takyah cari suruhan tuhan, mana dalil dan siapa pula yang canang idea.

Kalau diteruskan budaya ini, sampai awak dah nak mati pun, pasti akan ada keluar kat media massa tentang campur aduk ini. Mungkin waktu itu, kapsul makanan tengah hari telah disuntik dengan protein babi supaya lebih tahan. Sama sajalah.

Maka, HENTIKAN BUDAYA INI. KITA INI KHALIFAH. KITA PUNYA KUASA.

Thursday, March 17, 2005

mytheory16

mytheory16

Hidup Penuh Pengajaran


Hidup ini adalah rentetan pengajaran dan persekolahan. Tak percaya? Perhati betul-betul, dengar baik-baik dan fikirkan setiap yang berlaku. Semua manusia yang ada mampu memberikan KATA-KATA HIKMAH pada anda.


Babak 1

Uncle ini adalah seorang Indonesian. Dia berbangsa Cina dan tinggal di Tanah Jowo. Uncle seorang raja makan sebelum sakitnya dan dia tahu segala macam makanan yang sedap-sedap belaka. Tak hairanlah apabila dia masuk hospital, dia sangat cerewet dengan makanannya. Yang pasti baginya masakan Padang adalah yang terbaik walaupun dia ini kalau diperhatikan betul-betul sudah agak nyanyuk.

"Makanan ini macam you bagi sama Indonesia, kalau Malaysia, mana mau makan? "

"Itu Melayu sana Indonesia memang tak guna. Dia malas, tak buat kerja, tapi dapat tanah juga. Kita, Cina susah payah, apa pun tak ada"

"Mau pegi haji, kena duit datang sama kita la. Mau tunggu kita cari duit, bila la"



Babak 2

Saya kali pertama berjumpa dengan dia sewaktu terpaksa naik bas tambahan. Saya tak sukakan perangainya yang bising-bising dan cepat marah. Saya menyampah dengan dia yang terlalu cerewet dan cabul. Semalam saya berjumpa lagi dalam bas nombor 12 sewaktu pulang daripada hospital. Dia mahu mengorat akak nurse yang tiadalah lawa sangat. Akak tu melayan mungkin kerana dia pun gatal kot, maka logiklah dia melayan juga. Tapi yang tak logiknya dia melebih-lebih.

Dia mintak nombor telefon dan siap ber 'i love you' lagi. Akak tu dah takut.

Ada abang yang duduk sebelah saya bengang dan tegur: Janganla kacau anak dara orang.

Dimakinya abang itu "SETAN!, BABI!, APA KAU INGAT KAU ALIM SANGAT!, SEMBAHYANG ISYAK PUN TAK LAGI!" dan jutaan lagi makian yang indah-indah belaka untuk menaikkan darah. Tak cukup dengan itu, dia hentak-hentak kakinya.

Ada tiga ayat yang diucapkan oleh tiga orang berbeza:

1. Yang maki: Memanglah mek. tensyen kerja ni. Bila lagi nak lepas kalau tak marah-marah masa ni. Kat office, semua bos, mane buleh marah. Sini je la nak lepas.

2. Yang dimaki : Aku sabar la ni. Kalau aku tak sabar, aku dah bangun terajang. (dan saya yakin benar dia mampu).

3. konduktor bas : Dia memang ada gila skit. Tapi kata dia manyak betul.


Babak 3

Abang ini sudah lama saya tidak jumpa. Dia semacam sukarelawan di masjid. Orang masjid la pendeknya. Dia bekerja di siang hari dan lepas waktu kerja, dia akan menolong di Masjid Jamek. Tuhan mahu jadikan malam saya menarik, dan saya bertemu dengannya.

Apa yang pasti, dia makin faham sesuatu yang saya tak faham. Kata-katanya makin menyamankan dan dia bercakap sesuatu yang dia benar-benar tahu.

"Kalau nak diikutkan gila, abang dah jadi lagi gila daripada mereka. Kena maki tiap-tiap hari. Tapi abang sabar. Abang cari rezeki halal. Abang nak ambil hak abang daripada pemberian tuhan"

" Apa kita nak bimbang dik. Orang-orang macam tu takkan lama. Takkan kekal. Kuasa bukan pada tangan dia, tapi tangan tuhan. Kemenangan akhirnya akan berada di tangan kita. Diorang lenyap macam tu saja.

" Usahalah dik. Yang beri semua ni pun tuhan juga. Abang tahu yang Dia tak pernah buat yang sia-sia.. Adik pun kena yakinlah hal tu"


Dan dia memeluk aku. Kalaulah aku mampu menangis....

Monday, March 14, 2005

reallifegoeslikethis

Yang bernama UJIAN


"Ini adalah suatu ujian"

Saban hari, saban waktu. Setiap hari, setiap waktu, saya pasti akan mengingatkan diri saya bahawa ini adalah suatu ujian. Ujian hidup. Ia sukar, ia payah, ia tak pasti dan ia menyakitkan. Namun itulah adat ujian.

Saya bukanlah baik orangnya. Saya kerap berjanji dan memungkiri. Saya banyak berkata dan tidak pula diamalkan. Saya ke sana ke sini dan terjerumus dalam dosa.

Tapi saya sudah mencuba. Saya benar-benar sudah berusaha dan masih berusaha. Saya berusaha untuk cemerlang sebagaimana manusia lain mendefinasikan kecemerlangan itu. Saya cuba gembirakan hati-hati mereka sebagaimana hati-hati mereka mudah gembira dengan kejayaan-kejayaan artifisial itu.

Dan saya tidak lemah. Saya kuat, malahan lebih kuat daripada orang lain yang hanya tahu mengkritik tetapi tidak pernah berani berubah. Saya sabar, lebih sabar daripada mereka yang marah-marah kerana hal yang remeh-temeh. Namun yang pasti, saya ada had. Saya punya batasan sebagai hamba, sebagai manusia.

...........................

Saya tidak menulis ini untuk meraih apa-apa. Tidak keegoan diri sendiri, tidak pujian dan ampuan orang atau apa-apa sahaja yang kosong dan omong-omong belaka.

Saya menulis ini untuk mengingatkan diri sendiri. Bukan orang lain. Bukan siapa-siapa tapi saya. Bahawa usaha saya ada hadnya. Akal dan jasmani saya ada limitasinya. Bahawa saya bukannya saya main-main. Bukannya saya bergurau dengan hidup.

Senyum dan tawa saya ada batasnya. Sabar dan tenang saya saya ada hadnya. Saya juga marah, runsing, geram dan tidak pasti. Saya juga manusia, bukan robot, bukan malaikat dan saya pasti-pastinya bukan tuhan. Bahawa saya tidak punya kuasa.

...............................

Jika kalian adalah helang, kalian mungkin bangga bahawa kalian dikagumi orang. Kalian disanjung kerana keberanian dan hebatnya lagak terbang. Tapi sekadar itulah. Makhluk hanya tahu memuji bilamana ia menyenangkan dan bersedia bila-bila masa mengeji pabila ia tidak memenuhi keperluan.

Mereka tidak tahu apa itu makna hidup. Yang hidup itu adalah siri rentetan ujian-ujian. Hidup itu memang payah, memang susah. Maka bodohlah siapa yang berharap hidup akan senang dan berangan suatu waktu, senang lenang itu akan tiba.

Hidup ini simbiosis hendaknya. Kalian menerima dan wajiblah kalian memberi. Terima dan beri pada kadar yang seadilnya. Bukannya terima banyak-banyak dan berilah ala kadar. Macam Qabil ketamakan kambing. Kerana yang kalian terima itu adalah sebenarnya hak buat kalian. Maka kenapa manusia lain tidak mahu diberi peluang sama merasa sebagaimana kalian?

Pabila hidup suatu kitaran, ia saling cukup-mencukupi. Saling lengkap melengkapi. Jangan dikurang, jangan dilebihkan, kelak nanti aturan ini jadi salah dan sistem menjadi tidak stabil. Alam menjadi kacau, jiwa akan berontak.


Maka di situlah lahirnya ujian. Ujian suatu simbol radikal pembetulan. Ujian adalah turning point hidup. Ujian muncul untuk mengubah terus hidup supaya sistem kembali jadi betul atau jika diabaikan akan jadi makin tidak betul. Ujian adalah sistem koreksi paling cepat, paling efektif dalam membuat perubahan.

Ujian bukannya suatu masalah. Ia suatu soalan. Soalan bukanlah masalah kerna daripada soalanlah kita mendapat jawapan. Jadi soalan itu kunci. Kunci kepada rahsia hidup, rahsia aturan alam.

Hadapi ujian. Jawablah soalan. Kelak nanti akan ada jawapan. Jangan elak ujian, jangan abai soalan, nanti makin sesat perjalanan.


...........................

Tulisan ini akan ditamatkan takat ini dahulu. Monumen Shikamaru yang berfikir perlu diubah. Shikamaru sudah makin dewasa. Dia sudah jadi Jounin. Dia sudah jadi ketua. Dia perlu berani menghadapi dunia pula.

Dan dalam dunia nyata, manusia tidak dapat membaca akalan manusia. Hanya bercakap dan bertindaklah jawapannya.

Kepada yang saya berhutang janji, akan saya tunaikan. Berikan saya sedikit masa, secebis ruang. Saya tidak cukup udara untuk bernafas sekarang.

Monday, March 07, 2005

mytheory15

mytheory15

Membudayakan Media


Kita ini kompleks benar. Kita ini bukan-bukan sangat. Macam-macam kita nak, dan macam-macam kita tak hendak. Kita ini memilih.

Salahkah?

Tak salah. Kerana manusia ini kalau mengikut saja, akur saja, jadilah dia tak berfikir. Bila dia tak berfikir, semacam serupalah pula dia dengan tak berakal. Bila dah tak berakal, apa bezanya dengan haiwan?


..........................


Dua minggu ini banyak isu baru. Isu baru tapi halnya dah lama. Yalah, kan kita ini hidup dalam keadaan suka kecoh-kecoh barulah nak sedar. Jadi yang kecoh-kecoh ini memang baru lagi, tapi harapnya kesedaran itu dah lama ada.

Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Shah Alam atau nama pendeknya Bukit Cherakah adalah hal lapuk. Tapi ia isu baru kerana selama ini ia tak pernah dibising-bising dan didentam-dentum. Sekadar khabar angin saja. Bak kata Sanusi Junid, ia bukan Kelab Golf Selangor. Taman ini adalah taman pertanian, untuk petani-petani, pelaut-pelaut. Ia tak glamor, maka jangan ia dibesar-besar.

Kenapa tiba-tiba ia jadi besar? Kenapa Khir Toyo sebelum ini taknak bercakap tentang taman ini, Pak Lah pun semacam tak tahu saja? KERANA ITULAH FUNGSI MEDIA MALAYSIA.


Media Malaysia bukan macam media barat yang bercakap bab demokrasi atau autokrasi. Ia tak bercakap pasal pelembagaan negara atau undang-undang apa. Media kita, wajah kita. Itulah slogan saya untuk menggambarkan perihal media. Media Malaysia adalah orang tengah antara rakyat dan pemimpin. Antara dewan parlimen YANG MULIA dan tanah rakyat yang hina-dina. Media adalah medium itu, adalah wasilah itu dan adalah yang menentukan wujudnya hubungan antara yang di atas dan yang di bawah.

Sebagai manusia yang berfikir, kita wajib sedar akan hakikat ini. Hakikat bahawa sistem pilihanraya negara kita ini, perwakilan Dewan Undangan Negeri mahupun Parlimen di negara kita ini bukanlah medium pemimpin dan rakyat. Walaupun itulah tugas kedua-dua dewan yang mulia itu sebenanya. Walaupun kedua-dua dewan itu sebenarnya untuk membolehkan suara orang bawah didengar untuk mereka yang membuat perancangan dan tindakan bagi negara, dan bagi membolehkan saranan dan tindakan orang-orang atas ini pula diketahui oleh rakyat jelata. Itulah tugas sebenar mereka, bukan setakat berdebat yang entah apa-apa. Dan untuk siapa-siapa..

Dalam budaya kita, media adalah mediumnya. Ini budaya dunia membangun, budaya negara dunia ketiga. Perluah kita sedar itu, perlulah kita faham tentang itu. Jika media tidak mengatakan apa-apa, maka RAKYAT TIDAK MENGATAKAN APA-APA. Jika media tidak melaporkan apa-apa, MAKA KERAJAAN TIDAK PERNAH BERBUAT APA-APA. Itu fahamannya, itulah kesimpulannya walaupun yang sebenarnya tidak begitu.

Rakyat Malaysia perlu belajar memanfaatkan media. Walaupun ia bermakna fungsi dua dewan yang mulia itu akan kekal kaku, namun inilah tapak perubahan. KLCC tak terbina dengan jambatan tengahnya tapi dengan dua menaranya. Mulalah pada yang ada, kita siapkan dengan yang mustahil.

Saya nampak daripada perkembangan ini, media menjadi lebih bertanggungjawab. Soalan-soalan di Utusan Melayu contohnya, tak lagi berbau mengampu tetapi lebih menjawab persoalan di hati. Ia taklah lagi sampai ke tahap yang menjawab dengan jelas, tapi kita pun faham yang menteri-menteri pun ada rasa marah-marah atau kecewa. Tak mengapa lagilah. Kerana perubahan perlulah teratur supaya tak mengejutkan.

Membudayakan media adalah menjadikan media wasilah kita. Jalan kita, medium kita atau alat kita. Sikap memboikot yang pernah disarankan suatu masa dahulu sudah tidak sesuai lagi untuk masa sekarang, tapi perlu diubah dengan sikap mengawal. Jadikan kita tuan media, bukannya media mempertuankan kita. Jika kita bosan dengan akhbar-akhbar yang hanya tahu memberi kenyataan si polan bin si plan itu, walaupun kenyataannya amat dungu sekali, maka bertindak supaya media kita kritikal terhadap itu.

Media mempunyai banyak ruang untuk mengetahui reaksi pembaca. Ada surat daripada pembaca, ada ruangan kepada editor malahan artikel-artikel dalam akhbar (belum ada slot dalam televisyen atau radio) yang dihasilkan oleh pembaca.

Dengan kesedaran bahawa media adalah orang tengah antara rakyat dan kerajaan, serta tahu bahawa media punya pengaruh besar pada masyarakat, maka wajar kita memanfaatkan media. Ini bukan lagi zaman untuk kita mengamuk, merusuh apabila tidak puas hati, tetapi ini zaman berbincang dan berdialog. Gunakan peluang, kritikalkan segala kemudahan asalkan tidak melanggar perintah tuhan.

Kes Taman Pertanian adalah contoh biasa bagaimana kerajaan telah memberi respons segera terhadap pemintaan rakyat apabila mendapat liputan media. Rakyat-rakyat lain yang budaya mereka adalah disuap juga telah disuap mengenai wujudnya sebuah taman bernama sedemikian sedemikian. Maka dari sini muncul gesaan untuk bertindak yang kuat kepada pihak berwajib.

Kes PTPTN adalah contoh agak luar biasa bagaimana media menolong kerajaan dalam meminta rakyat membuat respons terus. Penghutang-penghutang PTPTN yang 'buat-buat lupa' dengan adanya berita-berita. Walaupun secara umumnya media Malaysia memang bertindak sebagai alat kerajaan, namun untuk kali yang jarangnya media bertindak secara langsung dalam menunjukkan pengaruhnya.

Semua rakyat yang sedar tahu akan besarnya peranan media. Jika ada yang yakin bahawa media Malaysia dikawal parti pemerintah, maka inilah saatnya untuk membolehkan kawalan itu distabilkan dengan kawalan daripada rakyat. Inilah masa dan saatnya untuk kita mula rajin melaporkan, menulis dan mencanangkan ketidakpuashatian kita dalam media. Bukan lagi sekadar 'aliran berbau kiri' ini dalam 'media-media kiri' tetapi dalam media-media rasmi.


..........................


Berbahasalah dalam bahasa paling tenang tetapi dengan isi paling benar dan maksud paling tajam. Manusia mana suka melihat orang lain ditindas, manusia mana suka digelar zalim.

NTV 7 adalah contoh sistem penyiaran yang berani. Walaupun kerap juga berani mereka adalah bukan-bukan. KOSMO adalah simbolik bahawa Utusan sanggup berubah. Walaupun perubahannya mungkin pada gaya sahaja. Lebih daripada itu, Pak Lah setakat ini mengotakan janji-janjinya untuk mengembalikan hak selamat dan berserah pada tuhan itu. Walau mungkin konsep islam hadhari itu bahaya jika tidak difahami daripada sudut praktikalnya sahaja. Kerana ketuhanan dan ibadah itu tidak ada konservatif dan moden.

Hujah di atas adalah alasan untuk kita juga berubah. MENGGUNAKAN MANFAAT DAN BERTINDAK KREATIF. Kerapkali pemikir-pemikir dan mereka-mereka yang menjadi penjana masyarakat terlalu kritis hingga ruang yang luas jadi sempit dan peluang-peluang yang banyak tak dapat dilihat.

Kreatif dalam membudayakan media adalah simbol perubahan rakyat. Sebagai contohnya, kita boleh menyuarakan idea-idea baru dalam bahasa yang berkobar-kobar dalam ruangan surat pembaca, boleh menghantar karya-karya sastera yang indah-indah di ruangan sastera atau mengisi ruang-ruang artikel dengan falsafah hidup yang benar.

Membudayakan media mungkin hanya boleh bermula daripada akhbar. Namun ia pasti membawa tempiasnya kepada bentuk media yang lain. Mana tahu suatu hari nanti telenova mengenai perjuangan rakyat Kerpan (yang diarahkan oleh Yasmin, skrip oleh Hishamuddin dan diterbitkan pula oleh Kementerian Penerangan) mendapat hits tertinggi di televisyen tempatan. Manalah tahu.

Kerana jika rakyat boleh berbuat salah atas alasan mereka adalah manusia, kerajaan juga boleh berbuat salah atas alasan yang sama. Kerana mereka manusia.

Masa itu kita pasti saling sayang-menyayangi. Kerana kita tahu dua-dua pun boleh buat salah dan saling perlu-memerlukan. Harapnya ini bukan dongeng moden.

Oh ya, jadi mari kita sama-sama berdoa. Dan berusaha :)